ALHAMDULILLAH, GET2GETHER MY DAY @ DZUL IMAN 2026 BERLANGSUNG DENGAN PENUH MERIAH DAN JAYANYA! 🌸
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, majlis GET2GETHER MY DAY @ DZUL IMAN 2026 yang menghimpunkan keluarga besar Tadika Dzul Iman Smart Khalifah Seksyen 2 dan Seksyen 4 telah berlangsung dengan jayanya pada Sabtu yang lalu, 14 November 2026. Program ini merupakan antara pengisian istimewa yang mengetengahkan rutin harian para khalifah kecil sepanjang mereka berada di Dzul Iman. Pelbagai persembahan, gelagat dan telatah comel yang mencuit hati telah dipersembahkan, sekali gus memberikan peluang kepada ibu ayah untuk menyaksikan sendiri perkembangan, kebolehan dan pengalaman pembelajaran anak-anak. Paling membanggakan apabila khalifah-khalifah kecil kita tampil dengan penuh keberanian dan keyakinan untuk berdiri di atas pentas, mempersembahkan bakat serta menunjukkan hasil pembelajaran mereka. Sesungguhnya, ini merupakan satu pencapaian yang amat bermakna setelah hampir setahun mereka menimba ilmu, membina keyakinan dan melalui pelbagai pengalaman di tadika.
Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua ibu ayah yang sudi meluangkan masa, hadir memberikan sokongan serta bersama-sama meraikan setiap langkah dan pencapaian khalifah kecil kita. Kehadiran dan sokongan ibu ayah bukan sekadar memeriahkan majlis, malah menjadi sumber semangat dan motivasi buat anak-anak untuk terus berani mencuba serta memberikan yang terbaik. Tidak dilupakan, penghargaan yang tidak terhingga buat seluruh warga pendidik, guru-guru dan seluruh jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus, mencurahkan tenaga, masa, idea dan kasih sayang dalam memastikan setiap perancangan berjalan lancar. Sesungguhnya, kejayaan majlis ini adalah hasil kerjasama, komitmen dan semangat berpasukan antara pihak tadika, guru-guru dan ibu ayah. Setiap senyuman, tepukan dan sorakan yang bergema menjadi kenangan indah yang pastinya terpahat dalam ingatan kita semua.
Buat semua khalifah kecil kesayangan Dzul Iman, teruslah melangkah dengan penuh keyakinan, menjadi anak-anak yang berakhlak mulia, berilmu, berani dan sentiasa dahagakan ilmu. Semoga segala ilmu, didikan, nilai murni dan pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di Dzul Iman Smart Khalifah menjadi bekalan berharga untuk perjalanan kalian pada masa hadapan. Setiap langkah kecil hari ini adalah permulaan kepada kejayaan yang lebih besar, insya-Allah. Semoga ukhuwah yang terjalin antara pihak tadika dan keluarga besar Dzul Iman terus mekar dan berkekalan. Andai ada kekurangan sepanjang majlis berlangsung, kami menyusun sepuluh jari memohon kemaafan. Terima kasih atas segala sokongan, kepercayaan dan kenangan yang telah kita cipta bersama. ❤️
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Semoga kita berjumpa lagi.
GET2GETHER MY DAY @ DZUL IMAN 2026
Together We Grow, Together We Shine! 🌟
Terima kasih, ibu ayah dan seluruh keluarga besar Dzul Iman! 💕
.jpg)