Agar kegemaran anak-anak. Mampu menyejukkan badan anak-anak yang kepanasan.
Resepi Agar Sayang-Menyayangi
Hanya meletakkan sepaket agar-agar kering IKHLAS ke dalam periuk CINTA bersama-sama 15 sudu gula MEMORI MANIS beserta air AMBIL BERAT secukupnya, maka akan terhasillah agar-agar sayang-menyayangi. Tambahkan sehelai dua pandan KOMUNIKASI untuk mendapat bau yang wangi dan masak hingga menggelegak dengan api SEMANGAT yang mencukupi. InsyaAllah, hasil nya akan seperti gambar di atas.
Pernah kami menyediakan agar-agar gula melaka. Kerana warnanya hitam coklat seperti gula melaka, anak-anak menolak untuk memakannya walaupun rasanya sungguh sedap. Warna ceria seperti oren, merah, kuning dan hijau lebih menjadi pilihan mereka. Agar-agar sebegini menyejukkan tubuh anak-anak yang kepanasan. Hidung berdarah juga boleh dielak dengan memakan agar-agar. Sebagai ganti kerana mereka jarang mahu minum air sejuk yang banyak.
Masak lemak cili api udang
Walaupun penuh dengan kerja di pejabat guru, ibu bapa baru yang bertanyakan pendaftaran anak, pelajar UiTM yang membuat interview dan bermacam-macam lagi, sempat-sempat juga menyinggah ke dapur. Menyediakan masak lemak cili api udang untuk guru tadika. Masakan ringkas, namun mampu mengubat keletihan guru setelah saban hari melayan kerenah anak yang pelbagai.
Layan guru-guru dengan sebaiknya. Kita sering melupakan jasa guru tadika. Apabila hanya terlalu fokus kepada prestasi anak kecil, ganjaran dan sentuhan motivasi lebih banyak diberi kepada anak-anak kecil. Tanpa disedari, ganjaran kepada guru dilupakan. Guru-guru sama seperti anak-anak kecil. Perlu ditegur sapa dengan mesra, ditanyakan tentang kesihatan dan keluarga dan ekonominya. Sentuhan juga mampu memotivasikan guru-guru.
Resepi agar saling sayang-menyayangi, ikhlas dan positif. Tunjukkan dan luahkan.